Monday, December 06, 2021

Perbahasan Perbekalan 2022, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan peringkat Jawatankuasa




 Ucapan Perbahasan Perbekalan 2022, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan peringkat Jawatankuasa. oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera YB Wong Hon Wai pada 24-11-2021

Video link: https://fb.watch/9JEmpIv_UI/

Perbahasan Perbekalan 2022, Kementerian Pertanian dan Industry Makanan peringkat Jawatankuasa

Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya turut ingin menyertai perbahasan peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. 


Butiran 02000 – Bekalan Makanan. Kerajaan walaupun telah melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 yang antara lain menjamin bekalan makanan mencukupi dan selamat. Akan tetapi pada pandangan saya ia harus juga memastikan bekalan makanan ini murah dan juga mampu milik (affordable) supaya rakyat jelata dapat menikmati makanan yang selamat dan murah. 


Saya ingin membangkitkan isu yang sangat mendukacitakan kerana kenaikan harga sayur-sayuran. Saya telah menerima laporan-laporan daripada orang awam dan juga persatuan pengguna di beberapa tempat bahawa harga sayur- sayuran – ada tempat yang naik sehingga 200 peratus. Maksudnya kerajaan gagal untuk membuat kawalan terhadap harga sayuran. 


Antara contoh, kubis bunga naik daripada RM7 sampai RM16 sekilogram. Sawi pendek RM3 naik kepada RM9. Brokoli RM8 naik sampai RM20. Sawi RM5 naik sampai RM8. Kacang buncis RM8 naik kepada RM15 sekilogram. Kubis RM4 naik kepada RM6. Cili merah, cili hijau. Itulah rungutan masyarakat awam sekarang bahawa barang naik, seperti slogan dahulu Barisan Nasional, Barang Naik. Bukan sahaja harga sayur-sayuran naik 200 peratus, saya juga menerima rungutan harga ayam naik dan juga pada sebelum ini ada yang kurang daripada RM8 sekilogram. Sekarang ada yang melebihi RM10 sekilogram. 


Persoalan saya, apakah tugas Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) walaupun merangka satu dasar yang begitu berbunga-bunga tetapi gagal dalam mengawal harga barang pertanian. Bukan sahaja harga sayur naik, harga ayam juga naik. Harga telur juga naik. Saya menerima laporan bahawa telur gred A ada yang telah naik dari RM10 sepapan kepada RM12 sepapan. 


Ada yang naik sampai RM3 sepapan. Itu menunjukkan kegagalan MAFI untuk mengawal – kegagalan Dasar Agromakanan Negara 2.0. Walaupun saya mendengar Yang Berhormat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjawab pelbagai soalan tetapi saya hendak mendengar jawapan daripada Yang Berhormat Menteri Pertanian kerana Menteri Pertanian yang boleh memberikan jawapan kepada persoalan yang saya bangkitkan. 

Tuan Pengerusi, Butiran 020600 – Perkhidmatan Kawalan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). Saya ingin mendengar, apakah laporan terkini tentang kartel daging haram. Bagaimana Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) gagal dalam mengawal kemasukan daging haram. Ini kerana ia satu institusi yang begitu penting dan satu jabatan yang begitu penting. Walaupun peruntukan daripada kementerian di bawah bajet ini telah naik daripada RM4.789 bilion kepada RM4.817 bilion, akan tetapi ia tidak dapat mengekang kenaikan harga makanan pertanian dan juga gagal dari segi kawalan MAQIS. 


Satu perkara yang saya ingin bangkitkan ialah Butiran 040100 – Bertugas ke Luar Negara. Di kedutaan dan juga di beberapa foreign mission di luar negara, kita mempunyai satu jawatan atau tugas Agriculture Attaché yang sepatutnya bertugas untuk facilitate trade berkenaan dengan pertanian. Akan tetapi saya dapati bahawa Agriculture Attaché di negara China, European Union dan United States telah gagal dalam tugas mereka untuk facilitate trade berkenaan dengan hasil-hasil pertanian. 


Itulah saya ingin membangkitkan berkaitan tentang harga barangan, kegagalan Agriculture Attaché dan juga kegagalan MAQIS. Saya ingin mendengar penjelasan Yang Berhormat Menteri. Itu sahaja Tuan Pengerusi.

No comments: